Saturday 10 November 2012

CONTOH KARANGAN



Karangan Jenis Bergambar

Karangan Bergambar Tunggal

  • Karangan yang hendak ditulis itu hendaklah berpandukan gambar yang tel ah disediakan.
  • Setiap gambar perlu dipastikan bila , di mana dan waktu supaya penulisan lebih jelas
  • Perlu meneliti seluruh gambar dengan mendalam . Pastikan apa yang berlaku, apa yang dikerjakan, 
  • dan suasana.
  • Sewaktu menulis , pastikan diri terlibat di dalam di dalam gambar, bukan sebagai pencerita dari luar 
  • atau dijadikan karangan penerangan.
  • Ceritakan peristiwa yang ada di dalam gambar tersebut dalam bentuk karangan.


Karangan Bergambar Bersiri


  • Karangan hendak berpandukan gambar-gambar yang telah disediakan.
  • Sebaik-baiknya jadikan diri kamu terlibat sama dengan cerita yang hendak ditulis.
  • Setiap perenggan berdasarkan sekeping gambar .
  • Karangan yang hendak ditulis itu hendaklah berpandukan peristiwa -peristiwa yang terdapat di dalam 
  • gambar-gambar tersebut mengikut urutan atau susunan.
  • Boleh menyertakan tajuk , tetapi tidak menjadi kemestian.


Karangan Jenis Autobiografi

  1. Karangan jenis ini biasanya memerlukan kamu membayangkan diri anda sebagai sesuatu benda secara terperinci.
  2. Ada yang mengisahkan riwayat hidup penulis sendiri dari awal hingga akhir.
  3. Boleh ditulis dalam bentuk cerita atau penerangan / rencana
  4. Aturan membina karangan


  • tempat asal - nama - dilahirkan dimana - proses pembuatan - dibungkus
  • perjalanan dari kilang hingga ke tempat pameran - di mana dipamerkan - bertukar milik
  • proses penggunaan dengan tuan baru - akhir hayat
  • perasaan - sedih atau gembira

5.  boleh gunakan dialog untuk bercakap sesama rakan , bukan dengan manusia.
6.  paparkan nilai-nilai murni


Tuliskan sebuah karangan yang bertajuk ’Aku Sebuah Basikal“.
Pengenalan :

  • berasal dari Jepun
  • dibuat di sebuah kilang besi waja
  • terdiri daripada besi waja, getah dan plastik

Perenggan ke-2

  • disebut basikal
  • dipamerkan
  • berasa sungguh gembira

Perenggan ke-3

  •  menaiki sebuah kapal dagang
  • berasa sungguh bangga
  • Perenggan ke-4nasib malang
  • kapal karam
  • dijumpai oleh penyelam
  • dijual sebagai besi buruk

Penutup

  • menjadi bahan terbuang
  • kesal kerana tidak dapat berbakti


         Aku berasal dari ’Negara Matahari Terbit“. Aku dibuat di sebuah kilang besi waja yang tidak besar.
Badanku terdiri daripada besi waja, getah asli, kaca dan plastik.
         Apabila badanku telah siap dibuat, aku disebut basikal. Aku dan kawan -kawanku yang lain
dipamerkan di sebuah bilik pameran. Aku berasa sungguh gembira kerana ramai orang memuji kecantikanku.
        Tidak lama kemudian aku dan kawan-kawanku menaiki sebuah kapal dagang. Aku berasa sungguh
seronok apabila mendapati kami akan dihantar ke Malaysia. Melalui perbualan dua orang kelasi kapal itu,
aku mendapati ramai kanak-kanak di Malaysia ingin memilikiku. Aku semakin bangga.
        Nasib kami sungguh malang . Kapal kami karam. Aku dan kawan-kawanku lemas. Setahun
kemudian, aku dijumpai oleh seorang penyelam. Waktu itu badanku sudah berkarat. Penyelam itu membawa
aku dan kawan-kawanku ke kedai yang membeli besi buruk. Aku dijual di situ.
        Aku berasa sungguh kesal kerana aku telah menjadi bahan terbuang sebelum sempat mencurahkan
baktiku kepada orang Malaysia.

Panduan Menulis Karangan

Dalam peperiksaan, sebelum membuat sesuatu karangan , kita hendaklah memilih dan memahami tajuk atau kehendak soalan karangan itu. Selepas itu kita fikirkanlah pula tentang :

A. Pengenalan
B. Isi-isi dan
C. Penutup


A. Pengenalan


Setiap karangan mestilah mempunyai perenggan pengenalan. Dalam pengenalan kita hendaklah memperkenalkan sesuatu perkara atau tajuk yang mungkin pembaca tidak tahu atau faham. Kita hendaklah menarik perhatiannya supaya ingin membaca karangan itu.

Pengenalan ini dibuat secara ringkas dan am sahaja, memadai tiga atau empat ayat. Pembukaan karangan yang menarik akan meninggalkan kesan yang positif dan mendalam kepada pemeriksa.

 B. Isi


Isi hendaklah mengikut kehendak soalan. Dalam UPSR, biasanya setiap karangan memerlukan empat isi. Isi yang lebih tidak mengapa tetapi mungkin menyebabkan kekurangan masa. Isi hendaklah disusun dengan teratur dan berkait antara satu dengan lain.

Isi-isi itu dipecahkan dalam perenggan-perenggan. Isi yang utama didahulukan. Murid-murid digalakkan menulis satu isi, satu perenggan. Setiap-tiap perenggan tidak semesti sama panjangnya. Mungkin sesuatu perenggan itu lebih panjang daripada perenggan yang lain. Ini kerana sesuatu isi utama yang ingin ditekankan oleh murid-murid biasanya lebih panjang daripada perenggan yang lain.

Jaga isinya supaya tidak terkeluar daripada tajuk yang dikehendaki. Elakkan menyertakan isi yang bercanggah dengan tajuk. Mengapa pelajar cemerlang mendapat banyak isi ? Ini kerana mereka banyak membaca. Untuk mendapat isi yang baik dan banyak, kita hendaklah banyak membaca surat khabar, majalah-majalah, makalah-makalah, rencana-rencana, buku-buku cerita, mendengar sesuatu, menyaksikan sendiri dan dari pengalaman sendiri. 
 
Cara terbaik mencari isi adalah dengan menggunakan kaedah membuat peta minda. Kemukakan pertanyaan kepada diri anda dan fikirkan jawapannya. Gunakan kata tanya

  • Apa        ( contoh : Apa aktiviti yang dijalankan ?)
  • Siapa      ( contoh, siapa yang terlibat dalam aktiviti tersebut ?)
  • Bila         ( contoh, bila aktiviti itu diadakan ?)
  • Mengapa ( contoh, mengapa aktiviti itu diadakan?)
  • Di mana  ( contoh, di mana aktiviti itu berlangsung?)

C. Penutup
Penutupnya adalah kesimpulan / rumusan atau akhiran sesuatu karangan. Dalam penutup boleh digambarkan  pendapat kita dengan ringkas tentang sesuatu perbincangan atau tajuk. Boleh masukkan perasaan atau harapan.Contoh, semua peserta berasa gembira dan berpuas hati dengan keadaan sekolah setelah tamatnya aktiviti gotong-royong itu. Kami berharap aktiviti seumpama ini akan dapat diadakan lagi pada masa akan datang.
Juga boleh dimuatkan nilai-nilai yang sesuai. Contohnya, aku bersyukur kerana kawanku akhirnya selamat. Ibub bapanya mengucapkan terima kasih kepadaku kerana telah membantu anak mereka.Elakkan menamatkan karangan secara mengejut atau tergantung. 
Oleh itu penutup juga adalah penting dalam tiap-tiap karangan.